Thursday, 17 September 2009

KENYATAAN MEDIA – PENAHANAN PEMIMPIN JOAS DI SARAWAK

UNTUK KELUARAN SEGERA


KENYATAAN MEDIA – PENAHANAN PEMIMPIN JOAS DI SARAWAK

16 September 2009

Ketika Malaysia merayakan ulang tahun ke 46, seramai 15 Orang Asal Sarawak telah ditahan Polis semasa cuba untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri Sarawak. Antara mereka yang ditahan adalah Mark Bujang (BRIMAS), Raymond Abin (BRIMAS) dan Hellan Empaing (WADESA), mereka semua merupakan pemimpin Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) bersama dengan perwakilan dari komuniti Kayan, kenyah dan Penan Sarawak.

Kumpulan tersebut yang terdiri daripada 6 penan, 4 Iban, 2 Kayan dan 3 Kenyah merupakan wakil dari komuniti yang akan mendapat kesan dari 2 empangan besar yang akan dibina di kawasan mereka. Mereka telah menyediakan satu memorandum mengenai isu tersebut dan berhasrat untuk menyerahkannya kepada pejabat Ketua Menteri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di Bandaraya Kuching. Ketika menunggu pengesahan penerimaan dokumen tersebut, mereka telah ditahan oleh polis tempatan. Mereka kini ditahan di Balai Polis Gita di Petra Jaya, Kuching, Sarawak. Masih belum jelas jika mereka akan didakwah, atau apa-apa sebab keatas penahanan mereka.

Jaringan Orang Asal SeMalaysia dengan keras mengecam penahanan ahlinya yang ingin menyampaikan memorandum bagi pihak Orang Asal di kawasan Baram dan Murum, Sarawak. Memorandum ini membantah tindakan kerajaan Negeri Sarawak untuk membina empangan hidro elektrik di kawasan ini tanpa Izin melalui makluman awal, bebas dan telus dari komuniti yang terlibat serta tidak menghiraukan status tanah adat yang terlibat. Tindakan kerajaan Negeri Sarawak ini adalah satu percanggahan yang jelas terhadap Deklarasi Hak Orang Asal, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah disokong penuh oleh kerajaan Malaysia.

Kami juga mengecam pengunaan cara penahanan untuk tujuan menakut-nakutkan dan melenyapkan suara komuniti yang mempertikaikan pembinaan empagan besar di kawasan yang terlibat. Ini menunjukkan keengganan kerajaan Negeri Sarawak untuk memastikan penglibatan yang penuh dan efektif oleh Orang Asal dalam projek yang akan member kesan terhadap mereka.

Kami menuntut kerajaan Negeri Sarawak agar membebaskan kesemua 15 warga Sarawak yang ditahan dan menjalankan proses konsultasi dengan komuniti yang terlibat. Kami juga menuntut hak komuniti ini terhadap tanah adat yang dilindungi oleh Perlembagaan dihormati. Penahanan ini juga adalah satu pencabulan terhadap hak pehimpunan secara aman yang dijamin dibawah artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.


Yang Benar,

Adrian Lasimbang
President
Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS)
+60138737676
lasimbang@gmail.com

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Jennifer Rubis
Media Liasion
+60198566251
jen.rubis@gmail.com

No comments: